Ahad, 4 Oktober 2009

TIPS KEWANGAN

Dipetik dari Berita Harian.

BIAR banyak atau sedikit, peruntukan kewangan penting bagi mempersiapkan diri menghadapi Aidilfitri. Pakaian baru, peruntukan duit raya, kos perjalanan pulang ke kampung hinggalah juadah makanan - semuanya menjadi bajet yang perlu diberi perhatian. Bagi mereka yang berkemampuan, tidak timbul masalah baik sebelum atau selepas hari raya. Namun, bagaimana pula mereka yang tidak berhemah ketika berbelanja atau memiliki tabungan yang cukup selepas cuti raya?

Kolum XY - Tanya Pakar menemui Perunding Kredit di Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Mohd Nasir Mustafa bagi meminta pandangan beliau mengenai isu bajet raya. Mohd Nasir berkata, tidak timbul masalah kewangan andai seseorang membuat perancangan lebih awal. Beliau berkata, tempoh setahun untuk menyambut Aidilfitri berikutnya dianggap mencukupi untuk mengumpul bajet kewangan, sekali gus terhindar daripada bebanan hutang dan krisis kewangan.
“Selama 12 bulan dalam setahun, mustahil kita tidak boleh menyimpan sedikit pendapatan bulanan. Memanglah sukar jika kita terpaksa mengasingkan sedikit pendapatan bulanan. Namun, jika dikaji kesannya, tidakkah ia menguntungkan kita?” katanya. Mohd Nasir berkongsi huraian dan langkah alternatif bagi memastikan anda tidak terbeban dengan hutang pada musim perayaan. Apa kaedah pengurusan kewangan terbaik ketika menyambut musim perayaan seperti Aidilfitri? Dalam seronok menyambut Aidilfitri, masih ramai yang alpa hingga tidak mengambil kira soal kepentingan berjimat dan menguruskan kewangan.
Tempoh setahun sekali menyambut hari raya, sepatutnya kita mempunyai simpanan khusus sebagai tabungan. Melalui tabungan inilah kita boleh membeli pakaian dan persiapan lain. Boleh anda jelaskan konsep tabungan yang dimaksudkan? Kita harus mengamalkan konsep simpanan musim perayaan serta menetapkan nisbah 70/30 dalam keseluruhan jumlah pendapatan bulanan. Tujuh puluh peratus purata itu merangkumi perbelanjaan dan bayaran wajib setiap bulan. Manakala baki 30 peratus sebagai simpanan. Tidak kira sama ada simpanan pelaburan, amanah saham atau caruman, ia sedikit sebanyak membantu kita dalam aspek tabungan jangka masa panjang.
Kad kredit dianggap alternatif paling mudah dalam mengurai kekusutan bajet kewangan menyambut Aidilfitri. Komen anda? Kad kredit memang berkuasa dalam membantu menyelesaikan masalah dalam tempoh mudah atau sekelip mata. Saya tidak menyalahkan kad kredit. Sama juga dengan dadah. Jika dalam kuantiti sedikit, ia boleh membantu, bagaimana pula kesannya andai disalah guna? Begitu juga kad kredit yang boleh membebankan dalam tempoh jangka masa panjang. Seharusnya, kita segera membayar jumlah kredit yang dipinjam supaya tidak ada kos tambahan dan caj dikenakan.
Boleh berkongsi tip mengelak penggunaan kad kredit selain mengurangkan perbelanjaan musim perayaan? Caranya cukup mudah. Tinggalkan saja kad kredit di rumah. Apabila ke pasar raya, elak menggunakan troli, sebaliknya ambil bakul. Biarpun dua benda yang sama, tetapi secara psikologi menyaksikan kita hanya mengambil barang yang perlu saja. Dari segi had perbelanjaan kad kredit, kita boleh mengarahkan pihak bank mengurangkan jumlah had atau credit limit sebagai alternatif mengelak daripada terus menggunakan kemudahan itu. Apa agaknya bahaya menggunakan kad kredit tanpa disedari? Kita ambil contoh ini... Bayangkan, andai kita perlu membayar balik pinjaman RM5,000 mengikut jumlah minimum kad kredit. Ini akan mengambil masa lebih tujuh tahun untuk melangsaikannya... Inilah beban jangka masa panjang. Situasi ini amat membahayakan terutama kepada generasi muda hari ini. Kebanyakan daripada kita cenderung mengutamakan perbelanjaan menyambut Aidilfitri, bagaimana pula selepas cuti raya? Itulah sebabnya tabungan amat penting.
Tabungan adalah langkah alternatif mengatasi krisis kewangan selepas musim perayaan. Bayangkan andai berlaku kecemasan yang memerlukan kita membelanjakan banyak wang. Tidak dapat banyak, sedikitpun harus kita menabung... Jadikan ia suatu amalan.
TIP:
Belanja berhemah:
Senaraikan barang keperluan yang ingin dibeli
Letakkan dalam bajet jumlah barangan yang dikehendaki
Lakukan penelitian premis yang hendak dikunjungi untuk lebih berjimat
Elak menggunakan kad kredit
Usah berbelanja ketika perut lapar kerana ini mendorong kita berbelanja lebih
Beli barang keperluan secukupnya dan elak pembaziran
Pastikan barang yang dibeli mempunyai nilai berpatutan
Elak membeli barang diimport sedangkan anda barangan buatan tempatan memiliki kualiti sama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan